Tuesday, August 26, 2008

PETA MINDA
Peta minda membantu pelajar dalam banyak segi.
Anda menggunakan kedua-dua bahagian kiri dan kanan otak anda bila membuat peta minda. Peta minda mengandungi perkataan utama atau konsep; di sekeliling perkataan utama dilukiskan lagi 5 – 10 isi penting yang berkaitan dengan konsep tadi. Di sekeliling isi penting dilukiskan lagi 5 – 10 anak-anak kepada setiap isi penting itu tadi. Kaedah ini memudahkan semua isi berkaitan dapat dipapar secara visual dengan mudah. Setelah anda dapat menguasai kaedah ini, bacaan teks sudah kurang selesa bagi anda.

Kegunaan Peta Minda.

Mengambil atau membuata nota semasa guru mengajar.
Kebaikan mengambil nota dengan kaedah peta minda ialah:
- anda boleh meletakkan terus idea yang berkaitan terus di tempatnya, tanpa mengira turutan ia dibentangkan oleh guru anda.
- Penggunaan perkataan dapat dikurangkan , satu patah perkataan sudah memadai. Anda boleh menggunakan key-word anda sendiri. Ini memudahkan anda mengingati pengajaran guru.
- Pembelajaran anda lebih bersistematik, berkesan, dan dapat meningkatkan prestasi akademik anda.
- Peta minda yang terhasil boleh dilihat oleh mata dan dirakam di dalam kotak ingatan dengan lebih berkesan.

Meringkaskan karangan
- Peta minda boleh menjadi alat penting untuk menyunting, mencari isi mana yang lebih penting.
- Ayat lengkap boleh ditulis dengan menggunakan isi-isi yang tercatat di dalam peta minda.

Memudahkan ulang kaji.
- Catatkan fakta dalam bentuk peta minda.
- Catatkan perkataan utama , seperti tajuk yang diulangkaji, kemudian sewaktu mentelaah, apabila terjumpa isi penting, tambahkan ke peta minda.
- Satu tajuk panjang boleh diringkaskan sehingga satu muka surat sahaja apabila menggunakan peta minda.
- Untuk menguji kefahaman dan ingatan anda tentang tajuk berkenaan, lukis semula peta minda berkenaan berdasarkan ingatan anda.Mudah bukan?

Mengulangkaji dalam kumpulan.
Sekumpulan pelajar boleh bekerjasama semasa mengulangkaji menggunakan langkah berikut:
- Setiap individu ambil sub-topik yang berlainan.
- Setiap individu melukis peta minda tentang sub-topik yang dibacanya.
- Bentangkan kerja individu.
- Gabungkan peta minda ahli-ahli kumpulan.
- Kaedah ini lebih menjimatkan masa, meriah dan mengurangkan rasa bosan dan mengantuk!

Semasa bermesyuarat
- Kaedah bermesyuarat yang kreatif ialah setiap ahli mesyuarat diberi masa beberapa minit untuk menjana idea yang berkaitan seperti mana kehendak mesyuarat.
- Idea-idea setiap ahli mesyuarat dipaparkan di atas peta minda utama dan setiap idea bolehlah dibincangkan dengan lebih terperinci. Dengan cara ini semua ahli mesyuarat dapat menyumbang idea walaupun dia seorang pendiam atau pemalu.

Membuat ucapan
Kelebihan nota ucapan yang dibuat menggunakan peta minda ialah:
- Ringkas: hanya satu muka surat yang diperlukan. Tidak perlu merisaukan audien apabila anda naik ke pentas dengan membawa berhelai-helai teks ucapan.
- Anda berucap dan tidak membaca teks: Anda bercakap secara spontan menggunakan perkataan yang ada pada peta minda anda. Hasilnya, anda nampak lebih yakin, bersedia dan ucapan anda lebih dihayati oleh audien.
- Lebih fleksibel : Semasa berucap, mungkin ada audien yang bertanya soalan. Sekiranya anda menghafal teks ucapan , anda mungkin tercari-cari semula di mana anda berhenti tadi. Audien akan tersenyum-senyum apabila melihat anda kelam kabut menyelak-nyelak teks ucapan.

BAGAIMANA UNTUK MEMBINA PETA MINDA.
Gunakan kata kunci atau imej yang sesuai.
Jangan guna tulisan sambung supaya isi nampak jelas.
Bermula daripada tengah-tengah muka surat. Muka surat diletakkan secara mendatar atau landskap. Bukankah susunan kedua-dua mata kita secara mendatar?
Lukis tajuk utama di tengah dengan jelas dan terang kerana ia ibu lepada peta minda anda.
Rangkakan subtopik.
Letak key-word di atas garisan yang sama. Isi-isi akan Nampak lebih jelas.
Gunakan warna-warna berlainan untuk menonjolkan lagi bahagian penting.
Apa-apa yang kelihatan menonjol di peta minda akan menonjol dalam ingatan,
Berfikirlah secara 3 dimensi.
Gunakan anak panah, simbol atau imej yang dapat menunjukkan pertalian antara elemen. Ini menambahkan kemeriahan dan keceriaan peta minda anda.
Sekiranya idea anda tersekat, jangan buang masa, teruskan ke ranting lain.
Lampaui sempadan. Sekiranya ruang sudah tiada, jangan buat semula di atas kertas lain, tapi tampal atau buat sambungan kertas. (Tinggalkan mentaliti 8 x 11in)
Berkreatiflah. Kreaviti menguatkan ingatan.
Buatlah peta minda anda dengan perasaan seronok.

No comments: